Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin
KIARONG, Sabtu, 21 Mac. – 1 Syawal bermula hari ini dan umat Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) pastinya meraikan hari kemenangan ini dan menyambutnya dengan gembira dan penuh bersyukur namun tetap sahaja bersederhana dengan tidak melangkaui batas-batas seperti yang disyariatkan oleh agama kita.
Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sudah lazimnya antara masjid tumpuan di negara ini bagi umat Islam menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri dan keterujaan jemaah di sini jelas terpancar di wajah mereka dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berangkat bersama-sama mengimarahkan lagi Aidilfitri pada tahun ini.
Berangkat sama, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Tepat pukul 7.30 pagi, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Setelah itu, Khutbah Hari Raya Aidilfitri disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin yang antara lain menerangkan, di hari yang mulia ini, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira darjat, pangkat dan bangsa bersatu dalam lafaz takbir, tahmid dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah serta lambang kejayaan mengawal hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan.
Setelah sebulan kita bersungguh-sungguh menunaikan ibadat puasa, menahan lapar dan dahaga serta bermujahadah melawan hawa nafsu, kini Allah mengurniakan kepada kita Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan.
Kemenangan ini jelas beliau, bukan terletak pada keseronokan dan keindahan yang bersifat zahir semata-mata tetapi pada kejayaan dalam kita menundukkan hawa nafsu dan memperbaiki diri di sepanjang bulan Ramadan.
Aidilfitri yang kita sambut bukan sekadar hari untuk kita bergembira tetapi merupakan tanda kembalinya kita kepada fitrah yang suci dan diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Bagi mereka yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai medan didikan rohani, sudah pasti akan terasa perubahan dalam diri iaitu daripada hati yang alpa kepada jiwa yang sedar serta insaf akan tanggungjawab selaku hamba Allah Subhanahu Wata'ala dan daripada keimanan yang goyah kepada keimanan yang lebih teguh serta berterusan, ujarnya.
Perubahan ini lahir daripada kesungguhan melawan hawa nafsu sehingga sifat-sifat buruk dalam hati berjaya disingkirkan dan digantikan dengan akhlak yang mulia serta jiwa yang lebih bersih.
“Dalam suasana ziarah-menziarahi di Aidilfitri ini, antara perkara paling utama yang wajar kita dahulukan ialah amalan bermaaf-maafan. Ungkapan 'mohon maaf zahir dan batin' sering kita lafazkan apabila melangkah masuk ke rumah saudara-mara dan sahabat handai.
“Ia bukan sekadar ucapan di bibir sahaja tetapi luahan hati yang ikhlas, mengharapkan keampunan dan keredaan sesama kita. Betapa indahnya ajaran agama Islam yang membuka ruang untuk kita membersihkan hati, meleraikan perselisihan dan menyuburkan kembali kasih sayang melalui budaya saling memaafkan," tegasnya.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ungkapnya, telah menjelaskan bahawa sifat pemaaf merupakan antara tanda keimanan yang paling utama dan mulia, ia melambangkan kebersihan hati serta ketinggian akhlak seorang Muslim dan sesungguhnya memaafkan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya bukti kekuatan jiwa dan keikhlasan bagi mereka yang benar-benar menghayati ajaran Islam.
Bersempena Aidilfitri yang indah dan penuh kemuliaan ini, Khutbah Pertama seterusnya menyeru kita untuk membuka lembaran baharu dengan saling memohon dan memberi kemaafan, dan memujuk hati agar melupakan dan menghapuskan segala kemarahan serta dendam yang tersimpan selama ini.
Mudah-mudahan dengan jiwa yang lapang dan sikap pemaaf, kita dikurniakan keampunan Allah, dipermudahkan segala urusan serta dianugerahkan kehidupan yang harmoni, bersatu padu dan penuh kasih sayang.
Sementara inti pati Khutbah Kedua pula menjelaskan, di hari yang penuh kebahagiaan ini, marilah kita melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah atas nikmat iman dan Islam yang tidak ternilai harganya. Sesungguhnya hanya mereka yang benar-benar beriman dan bertakwa sahaja mampu menyempurnakan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.
Hari ini merupakan hari kemenangan buat kita semua iaitu kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, namun, kemenangan ini tidak seharusnya terhenti dengan berlalunya Ramadan.
Oleh itu, teruskanlah amalan berpuasa di bulan Syawal dengan melaksanakan puasa enam, di mana pahalanya menyamai puasa sepanjang tahun, iaitu sebagai tanda istiqamah dan kesinambungan ketaatan kita kepada Allah.
Perlu diketahui, bahawa puasa enam di bulan Syawal boleh dilakukan sama ada secara berturut-turut atau secara berselang hari, mengikut kemampuan dan kesesuaian masing-masing, tanpa menjejaskan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, antara aspek penting yang tidak wajar kita abaikan adalah menyambutnya mengikut ajaran Islam dan dengan penuh kesederhanaan.
Walaupun kita disunatkan untuk berhias dan bergembira pada Hari Raya, namun ia tidak bermakna kita dibenarkan berbelanja secara berlebihan sehingga melampaui batas, membebankan diri dan terjerumus ke dalam hutang.
“Ingatlah, bahawa kehidupan yang sederhana itu lebih indah dan membawa ketenangan. Oleh itu, janganlah kita terlalu menuruti kehendak hawa nafsu sehingga menyusahkan diri sendiri dan terjerumus ke dalam pembaziran yang dilarang dalam agama Islam.
“Sesungguhnya agama Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersikap sederhana dalam setiap urusan kehidupan serta dengan tegas melarang perbuatan membazir yang hanya menurut kehendak hawa nafsu," tegasnya lagi.
Katanya, di saat kita bergembira menyambut Aidilfitri dalam suasana menikmati keamanan dan kesejahteraan, kita juga tidak lupa saudara-saudara seagama kita di luar sana yang menyambut Syawal dalam suasana derita, dizalimi dan berendam air mata, kesan daripada pencerobohan, peperangan dan bencana.
Ada yang kehilangan ibu bapa, anak dan ahli keluarga, kehilangan tempat tinggal, hidup dalam kesempitan, kelaparan dan penderitaan. Tambahnya, kita telah menyaksikan pelbagai pergolakan, pertumpahan darah dan peperangan yang melibatkan negara-negara Islam, malah ada juga campur tangan pihak luar yang menambahkan lagi penderitaan umat.
Dengan ketidaktentuan ini, dan sebagai tanda kasih sayang sesama Islam, ujarnya, maka kita panjatkan doa kepada Allah, kerana doa adalah senjata orang mukmin, tempat bergantung yang luhur dan tanda bahawa kita mempunyai hubungan hati dengan saudara-saudara kita.
Mudah-mudahan dengan doa, Allah mengurniakan keamanan, memelihara umat Islam, menyatukan hati-hati mereka dan menjauhkan mereka daripada perpecahan serta permusuhan dan dikurniakan kepada mereka pertolongan terhadap musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka.
Akhirnya, marilah kita raikan Aidilfitri dengan penuh adab, kesederhanaan dan keikhlasan agar kegembiraan yang kita rasakan mendapat berkat dan keredaan Allah.
Kita berdoa semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang kembali kepada fitrah, berakhlak mulia serta hidup dalam kasih sayang dan keharmonian, diterima amalan kita, diampunkan segala dosa kita, diteguhkan hati kita di atas jalan hidayah, dipelihara raja, negara dan keluarga kita serta dikurniakan pertolongan kepada umat Islam di mana sahaja mereka berada.
Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir yang terdiri daripada penduduk dan rakyat di negara ini tanda keakraban dan lambang perpaduan yang sudah lama dipraktikkan tanpa mengira bangsa atau negara.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua umat Islam di negara ini dan juga di mana sahaja berada. Dan dalam kesibukan meraikan lebaran, sama-sama beringat agar memastikan keselamatan adalah menjadi satu keutamaan baik untuk diri, keluarga dan di sekeliling.




